Friday, August 15, 2008

Hadith Larangan Tiup di dalam bekas

Hadith Larangan Tiup di dalam bekas dan meneguk 3 kali


Diambil dari :
http://soaljawab.wordpress.com/2008/06/17/hadith-larangan-tiup-di-dalam-bekas-dan-meneguk-3-kali/
Ust. Abdul Kadir

1. Sememangnya ada hadith yang melarang bernafas di dalam bekas makanan dan minuman. Hadith tersebut ialah:

إذا شرب أحدكم فلا يتنفس في الإناء

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu minum, maka jangan dia bernafas di dalam bekas.” (HR al-Bukhari)

Daripada Ibn ‘Abbas ra, Nabi katanya:

نهى أن يتنفس في الإناء أو ينفخ فيه

Maksudnya: Bahawasanya Nabi saw melarang daripada bernafas di dalam bekas (makanan atau minuman) dan meniup di dalamnya.” (HR al-Tirmizi dan Abu Daud, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih al-Jami’)

Al-Syaukani di dalam Nail al-Awtar ketika mensyarahkan perkataan Nabi saw: “atau meniup di dalamnya.” Berkata: “yakni (meniup) di dalam bekas yang dia minum, dan bekas itu merangkumi bekas makanan dan minuman… demikian juga, jangan meniup di dalam bekas bagi tujuan menyejukkan makanan yang panas, bahkan hendaklah bersabar sehingga makanan itu sejuk.”

Al-‘Allamah al-Manawi di dalam Faidh al-Qadir (6/346) pula berkata: “Meniup makanan yang panas menunjukkan kegopohan sekaligus menunjukkan keburukan, tidak sabar dan mencacatkan muruah.”

Larangan bernafas dan meniup di dalam bekas makanan dan minuman ini adalah makruh, jika ada keperluan yang mendesak untuk makan atau minum dengan segera, maka tidak mengapa melakukannya. Al-‘Allamah al-Mardawi al-Hambali di dalam al-Insaf (8/32 8) berkata: “Kata al-Aamidiy: “Tidak dimakruhkan meniup makanan yang panas.” Aku (al-Mardawiy) berkata: “ia benar jika ada keperluan untuk makan pada ketika itu juga.”

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata di dalam Syarh Riyadh al-Solihin: “Melainkan sebahagian ulama mengecualikannya (larangan meniup di dalam bekas) jika ada keperluan, seperti jika minuman itu panas dan seseorang perlu bersegera, maka sebahagian ulama meringankan perkara sebegini. Akan tetapi yang lebih afdhal, jangan tiup walaupun minuman itu panas, jika minuman itu panas dan ada bekas yang lain, maka gunakan bekas itu, menuman itu dituang ke dalamnya dan diulang perbuatan (macam buat teh tarik) itu sehingga menuman itu menjadi sejuk.”

2. Arahan minum dengan 3 teguk.

Al-Imam al-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas r.’anhuma:

‏لَا تَشْرَبُوا وَاحِدًا كَشُرْبِ الْبَعِيرِ وَلَكِنْ اشْرَبُوا مَثْنَى وَثُلَاثَ وَسَمُّوا إِذَا أَنْتُمْ شَرِبْتُمْ وَاحْمَدُوا إِذَا أَنْتُمْ رَفَعْتُمْ

Maksudnya: “Jangan kamu semua minum sekali (teguk), sama seperti unta minum, akan tetapi menumlah dua kali-dua kali atau tiga kali-tiga kali, dan sebutlah bismillah bila kamu hendak minum dan bertahmid jika kamu selesai.” (Ibn Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan sanad hadith ini lemah)

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi dinyatakan:

“al-Hafidz Ibn Hajar di dalam fathul Bari berkata: al-Tobari di dalam al-Awsath mengeluarkan (satu hadith) dengan sanad yang hasan daripada Abu Hurairah:

كَانَ يَشْرَبُ فِي ثَلَاثَةِ أَنْفَاسٍ إِذَا أَدْنَى الْإِنَاءَ إِلَى فِيهِ , يُسَمِّي اللَّهَ فَإِذَا أَخَّرَهُ حَمِدَ اللَّهَ بِفِعْلِ ذَلِكَ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Adalah Nabi saw minum dengan tiga kali nafas, jika bekas mendekati mulut baginda, baginda membaca bismillah, apabila menjauhinya, baginda bertahmid, baginda melakukannya tiga kali.”

Kata Ibn Hajar: “Hadith ini asalnya di dalam Ibn Majah, dan ia ada syahid (sokongan) dari hadith Ibn Mas’ud di sisi al-Bazzar dan al-Tobrani. Al-Tirmizi mengeluarkannya dari hadith Ibn ‘Abbas (iaitu hadith yang dinyatakan di atas):

Maksudnya: “dan sebutlah bismillah bila kamu hendak minum dan bertahmid jika kamu selesai”

Hadith ini boleh membawa maksud (membaca bismillah dan bertahmid itu) pada permulaan dan akhir sahaja.

Wallahu a’lam

0 comments: