Wednesday, November 25, 2009

Hari Arafah (wukuf)

Esok adalah hari ke 9 dalam bulan zulhijjah ya semua,

kalau tiada uzur (kesihatan @ syar'ie), disunatkan berpuasa


Petikan 1dari sini


Zulkaedah adalah bulan kedua belas dalam kiraan taqwim Hijrah. Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan dan keistimewaan, dari itu umat Islam digalakkan melakukan beberapa amalan ibadat seperti berpuasa sunat dan ibadat korban.

Puasa sunat di bulan Zulhijjah ialah puasa pada hari kesembilan iaitu hari Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit.

Al-Imam Ubnu Majah telah meriwayatkan dari Abu Qatadah, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang kira-kira bermaksud:

"Puasa pada hari Arafah akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu menutup dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya".

Maksud setahun yang terdahulu ialah dikira dari tahun yang mengandungi hari Arafah sebelumnya sehingga tahun yang ia berpuasa hari Arafah. Maksud setahun kemudian ialah dari akhir bulan haji yang ia berpuasa di dalamnya sehingga awal tahun hijriah iaitu awal Muharram.

Maksud menutup dosa ialah diampunkan semua dosa kecil yang telah dilakukannya kecuali dosanya terhadap sesama manusia, jika ia tidak mempunyai dosa kecil maka Allah akan meninggikan pangkatnya dan memeliharanya daripada melakukan dosa.

Petikan 2 dari Utusan Online

Persediaan hadapi hari Wukuf

EMPAT hari lagi iaitu pada 8 Zulhijjah ini, hampir tiga juta umat Islam akan bergerak keluar secara beramai-ramai dari kota Mekah untuk berhimpun di Padang Arafah sebagai persiapan menghadapi hari paling penting dalam ibadat haji iaitu hari Wukuf.

Berdasarkan gambaran yang diberikan oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Salleh Abdul Mubin mengenai perancangan Tabung Haji bagi menghadapi hari Wukuf, keadaan di jalan-jalan utama di Mekah menuju ke Padang Arafah seperti pada musim haji tahun-tahun sebelumnya bakal menyaksikan kesesakan luar biasa.

Sepanjang hari itu, kata Mohd. Salleh, kira-kira 160 buah bas yang membawa 26,000 jemaah Malaysia secara berperingkat-peringkat akan bergerak ke Padang Arafah dan pada hari yang sama ribuan buah bas lagi membawa jutaan jemaah negara lain turut mengarah ke destinasi tersebut.

‘‘Seperti pada musim haji sebelum ini, kita akan menyaksikan pergerakan terlalu banyak kenderaan yang bersesak-sesak untuk keluar dari kota Mekah,” katanya.

Menguji

Pada hari Wukuf, jemaah haji pada mulanya akan berhimpun di Padang Arafah selama separuh hari sebelum ke Muzdalifah. Di Muzdalifah pula, jemaah dikehendaki berada di kawasan itu sekurang-kurangnya beberapa jam termasuk mengutip batu-batu kecil bagi membuat lontaran jamrah di Mina.

Di Mina, jemaah akan tinggal lebih lama iaitu tiga hari pada hari-hari tasriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Apabila memperkatakan mengenai ibadat haji, hari Wukuf dianggap hari-hari paling mencabar bagi menguji daya ketahanan para jemaah sama ada dari mental, fizikal atau spritual.

Nabi Muhammad SAW bersabda, ‘‘Haji itu adalah wukuf.” Hal ini memperlihatkan betapa pentingnya hari wukuf.

Selain di tanah suci Mekah, banyak pengalaman dan cerita pelik-pelik yang pernah kita dengar melibatkan sesetengah jemaah ketika berada di Padang Arafah iaitu kawasan suci yang doa kita mudah diangkat ke langit.

Di kawasan itu, setiap jemaah dinasihatkan agar perlu sentiasa menjaga perbuatan, tutur kata, apa yang diniat dalam hati kerana biasanya ia cepat ditunjukkan oleh Tuhan.

Malah, ada guru agama mengingatkan bahawa perkara-perkara yang kita anggap gurauan semasa bersembang-sembang di Padang Arafah, tetapi bagi Allah ia adalah serius dan apa yang kita gurauankan itu kadang-kadang berlaku ketika itu juga.

Cerita dari mulut-mulut mengenai peristiwa pelik pada hari Wukuf, adakalanya membuat sesetengah umat Islam yang merasakan diri mereka pernah melakukan terlalu banyak dosa, keberatan untuk mengerjakan ibadat haji kerana bimbang dan takut jika perkara ganjil dan pelik akan turut dialami atau diperlihatkan kepada mereka.

Ada pendapat mengatakan dosa-dosa yang pernah seseorang lakukan jika hanya melibatkan Tuhan seperti tidak bersolat dan tidak berpuasa, ia mungkin terhapus ketika mengerjakan haji di tanah suci. Tetapi bagaimana pula dengan dosa kita dengan manusia lain, hanya Tuhan yang bakal menentukan sama ada dosa-dosa itu turut terhapus.

Ini termasuk dosa dari perbuatan dari gejala penyebaran gambar-gambar bogel gadis yang pernah menjadi teman wanita mereka sehingga seluruh keluarga gadis itu diaibkan sebegitu rupa dan ada mangsa membunuh diri; pengedar dadah di kalangan orang Islam yang turut merosakkan hidup ribuan belia muslim; perasuah yang akibat perbuatan mereka merosakkan sesebuah institusi dan syarikat yang menjadi tempat orang lain mencari rezeki; dan mereka yang gagal melaksanakan amanah.

Pakar Rujuk Tabung Haji, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, wukuf adalah kemuncak kepada amalan haji dan di situ berkumpulnya seluruh jamaah berjumlah jutaan orang dari penjuru dunia dalam waktu bersamaan.

‘‘Di Arafah, tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad mengambil masa lama untuk berdoa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Secara amaliah pula, jelas beliau, wukuf di Arafah mencerminkan puncak penyempurnaan haji seseorang.

Di Arafah, Rasulullah pernah menyampaikan khutbahnya yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ini kerana tidak lama kemudian setelah menyampaikan khutbah itu, baginda wafat. Pada saat itu, ayat al-Qur’an, surat al-Maa’idah ayat 3 turun sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW.

Memohon

Allah berfirman, “Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu….” (al-Maa’idah:3)

Kata beliau, wukuf di padang Arafah juga adalah untuk mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis.

Nabi Adam dan Hawa telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali. Tempat pertemuan mereka adalah di Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah SWT.

Selain itu, kata Dr. Zulkifli, padang Arfah dikaitkan dengan peristiwa Nabi Muhammad SAW mengambil masa terlalu lama berdoa kepada Tuhan. Ada pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Melihat kepada peristiwa-peristiwa penting itu, dapat difahami kenapa Arfah begitu penting dalam ibadat haji dan di situ para jemaah digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, solat sunat, membaca al-Quran, bermunajat dan berdoa. Berdoa di Arfah dikatakan mudah dimakbul doa seseorang. Kerana itu, nabi-nabi menjadikan Arfah sebagai saluran memanjatkan doa kepada Tuhan.

Mengikut pengertian wukuf di Arafah bererti berhenti seketika di padang luas itu. Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik, kata Dr. Zulkifli memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa,pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

‘‘Di Mekah, jemaah haji boleh lagi mendapat kemudahan yang berbeza seperti ada yang menginap di hotel-hotel mewah dan memakai pakaian cantik untuk ke Masjidil Haram.

‘‘Tetapi di Arafah, semuanya sama. Orang miskin, kaya, berpangkat atau tidak, semuanya sama. Mereka memakai pakaian tidak berjahit berwarna putih seperti kain mengkafankan orang mati dan duduk di khemah-khemah dalam persekitaran panas terik selama beberapa hari,” katanya.

Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke Arafah, Muzdalifah dan Mina, secara umumnya keadaan di persekitarannya nampak tandus dan gersang. Bukit-bukau berwarna keperang-perangan tanpa ditumbuhi pokok. Luasnya sayup mata memandang. Adakalanya ia kelihatan menakutkan. Sebab itu ada orang tempatan yang memandu berseorangan cuba mengelak menggunakan laluan ini pada waktu malam.

Bagaimanapun ada kawasan di ketiga-tiga kawasan suci itu dalam proses untuk ‘dihijaukan’ dengan penanaman banyak pokok-pokok termasuk di tepi lebuh raya yang melalui kesemua kawasan tersebut.

Menurut Dr. Zulkifli, di Arafah para jamaah digalakkan merenungi perbuatan-perbuatan dosanya yang lalu dan bertaubat agar Tuhan mengampunkan segara dosanya.

Bentangkan dosa-dosamu di padang Arafah ini, ingatlah satu persatu dosa-dosa yang pernah engkau lakukan, ingatlah betapa waktumu selama ini habis terbuang sia-sia karena lebih banyak digunakan untuk memperindah kehidupan duniamu. Pengakuan yang jujur dan ikhlas, tanpa rasa sombong dan takabur, di hadapan Allah adalah puncak amaliah haji. Itulah Arafah, wukuf kita adalah untuk mendefinisikan hakikat keberadaan kita di hadapan Allah, sekalipun sebenarnya Allah telah mengetahui itu semua.

Allah SWT gembira melihat hamba-Nya yang mengunjungi Arfah.

Pandanglah langit Arafah. Renungilah bahawa pada hari yang mulia itu Allah SWT sedang memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan umatnya yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatnya di langit.

Allah SWT berfirman bahawa: “Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang ke sini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku.”

Memuliakan

Tuhan juga sangat memuliakan hari wukuf di Arafah. Pada hari itu, Allah mendekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang wukuf di Arafah untuk mendengarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang berada di Arafah. Dengan bangga Allah bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu?“

‘‘Pada hari itu, Allah gembira sekali jika kita berdoa kepada-Nya. Ia mengabulkan semua doa mereka di sana, sebagaimana sabda Rasullullah SAW, “Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah.”

Bahkan Allah murka ketika manusia tidak yakin dosanya diampunkan di Arafah, seperti sabda Rasullullah SAW, “Yang paling besar dosanya di antara manusia adalah seseorang yang berwukuf di Arafah lalu berprasangka bahawa Allah tidak memberinya ampun.”

Demikian mulianya hari Arafah ini di sisi Tuhan, walaupun tempoh masa wukuf hanya beberapa jam saja. Sebab itu, menurut Dr. Zulkifli, para jemaah haji perlu menggunakan sepenuh peluang yang ada untuk memohon keampunan dan berdoa kepada Tuhan di Padang Arfah kerana berdoa di situ disaksikan dari dekat oleh Allah SWT dan dibangga-banggakan-Nya kita di depan para malaikatnya.

Firman Allah SWT, “Hai malaikat-Ku! Apa balasan (bagi) hamba-Ku ini, ia bertasbih kepada-Ku, ia bertahlil kepada-Ku, ia bertakbir kepada-Ku, ia mengagungkan-Ku, ia mengenali-Ku, ia memuji-Ku, ia bershalawat kepada nabi-Ku. Wahai para malaikat-Ku. ‘‘Saksikanlah, bahwasanya Aku telah mengampuninya, Aku memberi syafaat (bantuan) kepadanya. Jika hambaku memintanya tentu akan Kuberikan untuk semua yang wukuf di Arafah ini.”

Menurut Dr. Zulkifli lagi, suasana di Arafah pada hari Wukuf turut menyaksikan manusia paling banyak menitiskan air mata kerana di situ, perasaan untuk mengadu kepada Tuhan amat kuat.

Di Arfah, jemaah dinasihatkan supaya jangan sekali-kali berharap nasib mereka ditentukan oleh manusia lain bagi mengelak daripada kemurkaan Allah SWT dan Tuhan lebih mengetahui termasuk apa yang terlintas dalam hati manusia.

‘‘Bukan saja di Arafah, Allah SWT menyebut dalam al-Quran bahawa sesiapa yang berniat tidak baik di Mekah, telah tunggu bala ke atasnya. Itu baru kita berniat, sudah ada bala menunggu kita,” kata pakar rujuk Tabung Haji itu lagi.

Ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak yang takut mendapat aib semasa di tanah suci atas dosa-dosa besar mereka terutama terhadap orang lain, beliau berkata, ada sesetengah ulama berpendapat doa manusia terhadap manusia lain, Tuhan ampunkan juga.

‘‘Allah ampunkan dosa bagi mereka yang mengerjakan haji tanpa buat perkara fasik dan keji, maka dia pulang selepas itu seperti baru dilahirkan oleh ibunya. Selain itu, haji mabrur tiada balasannya bagi mereka selain syurga,” katanya.



Semoga sampai giliranku utk ke sana. Amin.

0 comments: