Showing posts with label Rukun Islam ketiga. Show all posts
Showing posts with label Rukun Islam ketiga. Show all posts

Wednesday, September 1, 2010

Berpuasa tetapi tidak solat

Puasa Ramadhan kita sudah pun memasuki 10 yang terakhir. Sedihnya, sebab tak lama lagi ia akan meninggalkan kita. Amalan sunnat tak seberapa yang dapat dilakukan.

Semalam saya bercakap-cakap dengan suami, tentang orang yang berpuasa tetapi meninggalkan solat fardhu. Melaksanakan Rukun Islam ketiga tetapi meninggalkan Rukun Islam Kedua

Secara asasnya yang saya fahami, puasa orang yang meninggalkan solat adalah sah tetapi tidak mendapat pahala.

Ada 2 Soalan yang saya jumpa berkisar tentang berpuasa tetapi meninggalkan solat:

Soalan 1; ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan: Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar. ........ Selanjutnya baca di sini

Soalan 2: Apakah hukum di sisi agama terhadap individu yang berpuasa Ramadhan tetapi dia tidak mendirikan solat? Adakah perbuatannya itu akan merosakkan puasanya dan tidak diganjari pahala?

Sebenarnya terdapat perbezaan di antara "batalnya ibadah" dan "ibadah tidak diterima". Kadang-kadang ibadah tersebut sah dan tidak perlu diulang semula hanya kerana ianya telah mencukupi rukun-rukun dan syarat-syaratnya, namun dalam masa yang sama tidak diterima di sisi Allah SWT. Sebagai contoh, seseorang yang mendirikan solat dengan tujuan menunjuk-nunjuk (riya') ataupun dengan memakai pakaian curi.Manakala orang yang berpuasa, sekiranya dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan syahwatnya, maka puasanya sah dan tidak batal walaupun dia telah mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat seperti menipu dan meninggalkan solat. ........ Selanjutnya baca di sini

Sia-sia bagi manusia yang menahan lapar,dahaga, kepanasan disiang hari kerana berpuasa tetapi puasanya ditolak akibat mengabaikan solatnya.

Wednesday, August 18, 2010

Puasa Yang Berkat

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Riwayat Ibnu Majah

Huraian

Pengajaran Hadis:

i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia. ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:

a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.

b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.

c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.

d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.

iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.

v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia